Ads.1

Friday, August 23, 2013

TUN MAHATHIR hebat



1Masjid/bmt

ALASAN.......KALIMAH ALLAH WAJIB DIPERTAHANKAN OLEH SETIAP UMAT ISLAM.

Kalimah Allah : 5 Alasan Gereja & Jawapan

Isu tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di negara ini seharusnya ditangani dengan bijak.
Perbincangan ilmiah dengan memahami maksud tersurat dan tersirat terhadap tuntutan ini harus diselami oleh semua pihak.
Kalimah Allah merupakan kalimah suci yang melambangkan Islam itu sendiri.  Umat Islam semestinya mempertahankan penggunaan kalimah ini agar tidak tersasar daripada maksud sebenar.  Ia adalah kewajipan bagi umat Islam dalam mempertahankan kesucian Islam itu sendiri.
Pendahuluan
  • 31 Disember 2007—Pengarang akhbar Herald-The Catholic Weekly, Paderi Lawrence Andrew menyatkan bahawa pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memperbaharui permit penerbitan akhbar itu tanpa larangan menggunakan kalimah Allah.  Kerajaan menegaskan bahawa larangan itu masih kekal.
  • 3 Januari 2008—Kabinet mengekalkan larangan bagi semua agama kecuali Islam daripada menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar masing-masing.  Sebelum ini Kabinet telah memutuskan keputusan yang sama dalam mesyuarat pada 18 Oktober dan 1 November 2006.
  • 19 Mac 2008—Gereja Katolik telah memohon di Mahkamah Tinggi untuk melakukan semakan kehakiman terhadap larangan penggunaan kalimah Allah.
  • 05 Mei 2008—Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) telah membuat keputusan membenarkan permohonan Gereja Katolik untuk membuat semakan kehakiman larangan tersebut dalam penerbitan mingguan Herald-The Catholic Weekly.
Alasan Gereja Katolik Menggunakan Kalimah Allah
  • Dalam akhbar The Sun (24 Dis. 2007), terdapat laporan bertajuk Church leaders explain use of Allah.  Terdapat 5 alasan utama yang dikemukakan oleh laporan tersebut mengapa Gereja Katolik ingin meneruskan penggunaan kalimah Allah di dalam akhbar terbitan mereka.  Alasan yang dikemukakan ialah:
1) Mendakwa mereka mengikuti Bible.  Bible dalam Bahasa Melayu menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahan istilah God dan Tuhan sebagai terjemahan istilah Lord.
2) Mendakwa bahawa mulai awal ke 19, para penganut Katolik di Malaya telah memiliki buku-buku doa dalam Bahasa Melayu dan kalimah Allah telah digunakan sebagai terjemahan istilah God.  Penganut Katolik Malta juga menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan dan begitu juga masyarakat Kristian di Indonesia, Pakistan dan Asia Barat.
3) Mendakwa ayat-ayat suci al-Quran sendiri telah menunjukan bahawa golongan bukan Islam juga telah menggunakan lafaz Allah.
4) Mendakwa bahawa segmen terjemahan dalam Bahasa Malaysia diwujudkan untuk memenuhi keperluan kepelbagaian etnik dan bahasa  yang wujud di Malaysia sebagaimana yang wujud di dalam populasi penganut Katolik di Malaysia.
5) Mendakwa kerajaan tidak mempunyai hak untuk campur tangan dalam urusan dalaman gereja berdasarkan hak yang diberi oleh Perkara 11(3)A Perlembagaan Persekautuan.
Hujah-Hujah menolak Alasan Pihak Gereja Katolik
Alasan Pertama :  Mendakwa mereka mengikuti Bible.  Bible dalam Bahasa Melayu menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahan istilah God dan Tuhan sebagai terjemahan istilah Lord.
Hujah-Hujah Menolak:
1)  Kalimah Allah adalah kata nama khas berasal daripada Bahasa Arab.  Ia tidak boleh digunakan dalam bentuk atau makna-makna lain.  Menurut nahu Arab, kalimah ini tidak boleh diumum, dikecil, dilelaki, diperempuan atau diterbitkan nana-nama lain daripadanya.  Kalimah Allah adalah bebas dari segi struktur nahu dan maknanya dari segala korupsi.  Kita tidak boleh memanipulasikannya dengan apa cara sekalipun dalam bahasa asalnya.  Dari segi struktur linguistik, kalimah allah lebih superior daripada apa jua perkataan apa jua bahasa dalam memelihara dan mempertahankan  makna  ke-Esaan   dan  keunikan satu-satunya Tuhan yang layak disembah.  Oleh itu, umat Islam tidak sekali-kali menterjemahkan Allah kepada apa  jua bahasa  melainkan  dikekalkan lafaznya yang asal iaitu Allah.
2) Di peringkat antarabangsa, penggunaan kalimah Allah dari segi istilah adalah amat sinonim dengan agama Islam.  Ia diiktiraf oleh kamus-kamus serta ensiklopedia terkemuka di dunia.  Antaranya:
i. Kamus Oxford—Allah:  Name of God among Muslims.
j. Ensiklopedia Britannica—Allah:  God, the one and only God in the religion of Islam
k. Ensiklopedia Katolik—Let it be noted that although Allah is an Arabic term, it is used by all Moslems, whatever be their language, as the name of God.
3) Dalam konteks Malaysia kalimah Allah tidak diterjemahkan kepada Bahasa Melayu atau bahasa Malaysia malah ia dikekalkan tanpa terjemahan.  Oleh itu kalimah Allah di Malaysia adalah merujuk terus kepada makna yang terkandung di dalam teks al-Quran tanpa mengubahsuaian pada lafaz (terjemahan) mahupun maksud kalimah tersebut.
Definasi Allah menurut Kamus Dewan Edisi Empat:
Allah :  Ar (Asal bahasa Arab) Tuhan (Yg Esa); ~azzawajalla Tuhan yang Maha Baik dan Maha Mulia; ~ subhanahu wa taala Terpujilah Tuhan Yang Maha Tinggi.
Definasi Allah menurut Kamus Pelajar:
Allah:  Tuhan Yang Maha Esa, Yang bersifat dengan 20 sifat Yang Maha Sempurna dan Yang mencipta alam ini.
Oleh itu kalimah Allah tidak boleh dianggap sebagai terjemahan  tuhan  dalam Bahasa   Melayu  atau god dalam Bahasa Inggeris kerana ia adalah lafaz Bahasa Arab yang dikekalkan sebagai mematuhi kitab  suci umat Islam yang telah membudaya dalam masyarakat Islam dan dimaklumi sebaiknya oleh bukan Islam di negara ini.
4) Bible Bahasa Melayu yang didakwa sebagai rujukan kepada penggunaan kalimah Allah juga tidak boleh diterima berdasarkan faktor kredibiliti penterjemahan dan perundangan Malaysia.  Faktor perundangan menegah penggunaan kalimah tertentu yang menjadi hak eksklusif umat Islam untuk digunakan oleh bukan Islam.  Oleh itu, alasan yang mengatakan mereka merujuk kepada Bible Bahasa Melayu adalah tertolak dengan sendirinya kerana kesahihan penterjemahan Bible tersebut boleh dipertikai.
Alasan Kedua :  Mendakwa bahawa mulai awal abad ke-19, para penganut Katolik di Malaya telah memiliki buku-buku doa dalam Bahasa Malayu dan kalimah Allah telah digunakan sebagai terjemahan istilah God.  Penganut Katolik Malta juga menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan dan begitu juga masyarakat Kristian di Indonesia, Pakistan dan Asia Barat.
Hujah-hujah Menolak :
1)  Alasan ini adalah bertitik tolak daripada sejarah kedatangan mubaligh Kristian ke Tanah Melayu dan Nusantara.  Sejarah mencatatkan antara misi utama kedatangan penjajah Barat ke Asia Tenggara adalah untuk mengaut hasil bumi dan menyebarkan agama Kristian ke seluruh rantau ini.  Antara usaha yang giat dilakukan oleh para mubaligh ini ialah menterjemahkan Bible ke dalam Bahasa penduduk tempatan termasuk menjalankan upacara keagamaan dalam Bahasa yang difahami oleh masyarakat setempat.
2) Percubaan untuk membandingkan Malaysia dengan negara-negara lain yang menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada God juga tertolak.  Ini kerana setiap Bahasa yang digunakan oleh setiap bangsa mempunyai sejarah dan kebudayaan yang berbeza.  Dalam kes ini, latar belakang Bahasa Melayu yang digunakan oleh penduduk Malaysia lahir daripada rahim agama Islam dan kebudayaan Melayu.  Budaya Melayu itu sendiri terhasil daripada agama Islam.  Oleh itu, ia wajib mencerminkan kelaziman Melayu yang berpunca daripada agama Islam.  Ini sudah tentu berbeza dengan latar belakang Bahasa Melayu yang terdapat di Indonesia dan Singapura.
3) Berkenaan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di Asia Barat juga tidak boleh dijadikan hujah.  Bangsa Arab bulan Islam sememangnya telah lama menggunakan kalimah Allah berdasarkan faktor teologi dan kebudayaan yang telah sedia wujud di Asia Barat.  Perkara ini dijelaskan sendiri oleh al-Quran apabila al-Quran datang untuk menjernih dan menyucikan semula penyalahgunaan maksud kalimah Allah yang diguna pakai oleh golongan Jahiliyyah dan ahli kitab yang terdiri daripada Yahudi dan Nasrani.
4)  Dalam konteks etimologi dan semantik pula, alasan Gereja Katolik untuk merujuk kepada masyarakat Kristian Arab adalah tersasar jauh.  Mereka tidak boleh membandingkan apa yang berlaku kepada Kristian Arab dengan Kristian di Malaysia.  Apa yang berlaku di negara-negara Arab ialah pihak Kristian Arab menterjemahkan Bible daripada Bahasa Suryani (Syria/ Syam) atau Aramik dan Bahasa Ibrani (Hebrew) kepada Bahasa Arab.  Perlu diketahui Bahasa Arab, Aramik dan Ibrani berada dalam rumpun bahasa yang sama iaitu rumpun Semitik.  Oleh itu, Kristian Arab mempunyai hak untuk berhujah bahawa kalimah  Allah berkemungkinan berasal daripada nama asal tuhan mereka dalam Bahasa Aramik atau Ibrani.  Tetapi apa pula rasional pihak Gereja Kristian utnuk menterjemahkan god dalam Bible Bahasa Inggeris  kepada Allah dalam Bible Bahasa Melayu?.  Bukankah kedua-duanya adalah dua rumpun bahasa yang berbeza dari segi etimologi dan semantik bahkan suasana yang membudayai penggunaan Bahasa-Bahasa itu?.
Alasan Ketiga : Mendakwa ayat-ayat al-Quran sendiri telah menunjukkan bahawa golongan bukan Islam juga menggunakan lafaz Allah.
Hujah-hujah Menolak:
1) Antara ayat yang sering dirujuk oleh pihak Gereja Katolik ialah surat al-Ankabut ayat 61:
Makdusnya:  Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu:  Siapakah yang menciptakan langit dan bumi dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk makhluk-makhlukNya)?.  Sudah tentu mereka akan menjawab:  Allah.  Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahnya)?.
2) Begitu juga surah al-Maidah ayat 73:
Maksudnya:  Demi sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata:  Bahawasanya Allah ialah salah satu daripada tiga tuhan.  Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa.  Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Kedua-dua  ayat tadi sebenarnya tidak boleh menjadi hujah bagi golongan bukan Islam untuk menggunakan kalimah Allah.  Ia berdasarkan alasan-alasan berikut:
i) Dalam surah al-Ankabut ayat 61, al-Quran hanya merakamkan  sejauh  mana  kefahaman masyarakat Arab Jahiliyah menggunakan kalimah Allah.  Ia    bukan     untuk    mengiya    atau membenarkan penggunaan tersebut.  Sebaliknya ia mahu menjelaskan bagaimana kalimah Allah sudah   dikenal   pasti   oleh  masyarakat Arab sebelum Islam.  Daripada informasi ayat-ayat seperti   ini, al-Quran  menjelaskan orang Arab Jahiliyyah hanya mengenal Allah sebagai:
1. pencipta langit dan bumi;
2. yang memudahkan peredaran matahari dan bulan;
3. yang menurunkan air dari langit; dan
4. tempat menggantungkan harapan
Konsep  ini jelas bertentangan dengan konsep Allah
ii)   Manakala  surah  al-Maidah ayat 73 pula tidak boleh   menjadi   alasan  kepada pihak Kristian menggunakan kalimah Allah.  Ini kerana Allah SWT sendiri  menafikan  golongan   yang  mengatakan ZatNya itu satu oknum daripada tiga oknum (triniti).  Malah mereka dianggap kafir.  Ini bermakna sebutan Allah yang keluar dari lidah golongan Kristian itu adalah sia-sia dan tiada nilai di sisi Allah kerana ia tidak merujuk kepada kalimah Allah yang sebenar.  Sebagaimana maklum, kalimah Allah merujuk kepada  zat  (esensi)  yang  dinamakan.  Sebagai perumpamaan  mudah, perkataan  kereta  adalah merujuk kepada kenderaan bermotor.  Oleh itu. tiada makna bagi orang yang menggunakan perkataan kereta untuk merujuk kepada alat menjahit pakaian.  Sekiranya ia masih menggunakan kereta tetapi merujuk kepada alat yang salah, ini bermakna penggunaan perkataan itu adalah sia-sia dan tidak bermakna.
3) Menjadikan al-Quran sebagai rujukan untuk menyokong alasan golongan bukan Islam menggunakan kalimah Allah, bukanlah satu alasan bagi Gereja Katolik tetapi hujah bagi umat Islam.  Ia melambangkan kegagalan Katolik untuk berhujah berasaskan teks asal kitab agama mereka.  Bagi umat Islam, ini menjadi bukti bahawa al-Quran merupakan kitab suci yang  memiliki fakta-fakta yang utuh dan konsisten.  Ia juga menjadi bukti bahawa Gereja Katolik menggunakan al-Quran sebagai sumber paling dipercayai untuk mengakui Allah sebagai nama tuhan berbanding hujah berdasarkan perbahasan sejarah dan ilmu Bahasa.  Oleh yang demikian, fakta-fakta mengenai Allah seperti mana yang dibentangkan oleh al-Quran juga hendaklah diterima.
Atau adakah Gereja Katolik ingin mengatakan bahawa lafaz Allah di dalam al-Quran itu merujuk kepada lafaz Elohim dalam kitab asal mereka Berbahasa Ibrani?.  Jika kalimah Allah dan Elohim itu merujuk kepada hakikat yang sama, mengapa pula konsepnya berbeza?.  Al-Quran mengatakan Allah itu Masa Esa dan tidak mempunyai anak sebaliknya Gereja Katolik berpegang kepada konsep triniti.  Ini sekali gus memberi makna konsep Allah di dalam Islam adalah amat konsisten sehingga umat Islam tidak perlu menterjemahkan kepada mana-mana  Bahasa dunia.
Ia berbeza dengn konsep ketuhanan agama Kristian yang tidak memiliki sumber yang jelas dan konsisten sehingga memerlukan penterjemahan dan pinjaman daripada bahasa lain
Alasan keempat: Mendakwa bahawa terjemahan dalam Bahasa Malaysia diwujudkan untuk memenuhi keperluan pelbagai   etnik    dan   Bahasa   yang   ada   di Malaysia sebagaimana yang wujud di dalam populasi penganut Katolik di Malaysia.
Hujah-hujah menolak:
1) Alasan  penterjemahan kepada  Bahasa  Malaysia sebagai lambang kepelbagaian yang wujud dalam populasi masyarakat Kristian Katolik juga tidak boleh diterima.  Perlu diketahui Bahasa Bahasa Malaysia berasal   daripada  Bahasa Melayu.  Perkara 152 Perlembagaan   Persekutuan  menyebut   Bahasa Melayu adalah Bahasa kebangsaan dan Bahasa rasmi   Malaysia.  Perlu   diingat   bahawa   ketika perlembagaan digubal, istilah Malaysia belum wujud.  Oleh   itu, apabila kita  merujuk   kepada   Bahasa Malaysia ia sudah tentu merujuk kepada Bahasa Melayu yang sekali  gus  merujuk  kepada masyarakat   Melayu Islam.  Justeru peristilahan-peristilahan khusus yang telah menjadi syiar dan perlembagaan kepada masyarakat Melayu Islam sudah tentu tidak sekali-kali boleh diubah konsepnya untuk diterap kepada satu budaya dan agama yang lain.
2) Memaksakan penggunaan kalimah Allah dengan kalangan Kristian Katolik yang bertutur dalam Bahasa Melayu di negara ini juga, secara logiknya sudah pasti memberi kesan negatif terhadap konsep ketuhanan dalam agama Kristian.  Telah dimaklumi bahawa   kalimah   Allah   itu   adalah   kalimah  yang didominasi oleh umat Melayu Islam secara politik dan kebudayaan yang terdiri daripada 60% penduduk Malaysia berbanding hanya 9.1% penganut Kristian pelbagai mazhab.
Bukanlah dengan penggunaan peristilahan yang sama bakal menimbulkan kecelaruan dalam kalangan penganut Kristian Berbahasa Melayu sendiri?.  Justeru, penterjemahan yang lebih tepat seperti Tuhan sepatutnya digunakan oleh Gereja Katolik bagi  menjamin kepercayaan agama Kristian sentiasa terpelihara selain mengelakkan kekeliruan.
Alasan Kelima: Mendakwa kerajaan tidak mempunyai hak untuk campur tangan dalam urusan dalaman gereja berdasarkan hak yang diberi oleh Perkara 11(3a) Perlembagaan Persekutuan.
Hujah-hujah menolak:
1) Alasan ini adalah tidak benar sama sekali.  Sebaliknya kerajaan telah diberi hak oleh Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 11(4) untuk mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kpercayaan agama antara orang-orang yang menganuti agama Islam.  Di bawah peruntukan ini kerajaan (sama ada kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri) telah menggubal undang-undang mengawal dan menyekat pengembangan agama-agama bukan Islam terhadap umat Islam.  Sebagai contoh Enakman Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Negeri Terengganu 1980, Seksyen 9 menyebut;  (Melarang seseorang bukan Islam daripada menggunakan perkataan-perkataan tertentu baik dalam tulisan, ucapan atau kenyataan untukmenggambarkan antaranya kepercayaan   atau   konsep   mana-mana agama bukan Islam.
Perkataan-perkataan itu termasuklah Allah, Injil, Ilahi, Rasul, Nabi, Wahyu, Iman, Imam, Syariah, Ulama, Dakwah, Ibadah dan lain-lain.  Peruntukan ini jelas menunjukkan bahawa menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahan kepada perkataan god di dalam Bible adalah menyalahi undang-undang yang sedang berkuat kuasa di negara ini.  Oleh itu, ia tidak boleh disifatkan sebagai urusan  dalaman gereja.
Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke 82 yang bersidang pada  5  hingga  7  Mei  2008   memutuskan   bahawa penggunaan kalimah Allah adalah khusus buat agama dan umat Islam sahaja.
Pandangan Tokoh Ulama Luar Negara
Pandangan wakil Al-Azhar (Timbalan Syeikh Al-Azhar) dan Ketua  Lujnah  Dialog   Antara   Agama Al-Azhar, Fadhilat Al-Syeikh Abdul Fattah Allam, beliau berpendapat bahawa tindakan Kerajaan Malaysia menegah penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam adalah tepat.  Ini kerana kalimah Allah tidak boleh disama ertikan dengan kalimah Rabb  yang  membawa    makna    Yang   Mewujudkan.  Sebagaimana maklum penganut bukan Islam menamakan sebarang Tuha Yang mereka sembah seperti batu, haiwan, matahari dan lain-lain sebagai Allah.  Hal ini sudah tentu amat   tidak  wajar  sama  sekali  dan menyalahi maksud kalimah Allah itu sendiri sebagaimana yang termaktub di dalam Al-Quran dan Al-Hadis.
Pandangan Penasihat Undang-Undang Kementerian Kehakiman Arab Saudi, Syeikh Abdul Muhsin Al-Abikan
Beliau berpendapat bahawa pendekatan Kerajaan Malaysia ini adalah bertujuan untuk mengelakkan daripada penyalahgunaan nama Allah melainkan hanya kepada  Yang Maha Pencipta (tuhan yang sebenar).  Ini kerana terdapat agama-agama lain yang juga menggunakan kalimah Allah bagi agama mereka sedangkan mereka adalah penyembah berhala, oleh itu nama Allah tidak sepatutnya digunakan bagi menggambarkan tuhan-tuhan yang selainNya.
Tokoh Pergerakan Perlembagaan Islam (Islamic Sonstitutional  Movement)  Kuwait,  Syeikh  Abdul   Hamid Al-Ballali
Beliau menyokong penuh keputusan Kerajaan Malaysia untuk tidak membenarkan penganut bulan Islam menggunakan kalimah Allah sebagai panggilan bagi tuhan mereka.  Beliau beralasan bahawa keputusan tersebut amat signifikan bagi memelihara maksud istilah sebenar bagi kalimah Allah.  Umat yang gagal memelihara istilah-istilah agamanya adalah umat yang leka.  Sedangkan Allah SWT telah mengangkat umat ini sebaik-baik umat.
Menurutnya lagi umat Islam perlu sedar banyak istilah-istilah yang berasal daripada  Islam pada hari ini telah cuba dieksploitasi, disalah guna atau dipesongkan maknanya oleh pihak tertentu.  Ia seperti istilah syahid yang juga diguna pakai bagi penganut bukan Islam.  Istilah riba yang ditukarkan kepada faedah bank.  Istilah khamar yang ditukarkan kepada minuman rohani.  Istilah liwat yang ditukarkan kepada istilah hubungan sesama jenis.  Persoalannya adakah umat Islam sedar tentang fenomena ini sebagaimana kesedaran yang dipamerkan oleh Kerajaan Malaysia?.
Keputusan Kerajaan
Keputusan mesyuarat Kabinet bertarikh 16 Mei 1986 juga telah memutuskan bahawa perkataan Allah adalah termasuk antara kalimah-kalimah yang dilarang penggunaannya oleh  mereka  yang  bukan   beragama   Islam.  Malah penggunaan  kalimah  allah, Baitullah, Solat dan Kaabah telah   pun  diwartakan  hanya   eksklusif buat umat Islam sahaja di bawah  Warta P.U(A) 15/82 dan pekeliling KKDN.  S.59//3/6/A bertarikh 5 Disember 1986.  Manakala Jemaah Menteri   yang   bermesyuarat   pada   3  Januari   2008, memutuskan untuk mengekalkan larangan tersebut yang pernah diputuskan pada 18 Oktober dan I November 2006.
Kesimpulan
Berdasarkan  hujah-hujah  yang telah  dinyatakan,  tiada sebab untuk Kerajaan membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada pihak Kristian.  Malah keputusan Kerajaan adalah selari dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menobatkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.  Umat beragama di Malaysia telah sedia maklum bahawa sebarang  isu  yang  berkaitan  dengan  Islam sama ada secara langsung atau tidak seharusnya menghormati kedudukan istimewa agama Islam dan umat Melayu Islan di negara ini –  jasa.gov.my 


1Masjid/bmt
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...