Ads.1

Sunday, June 14, 2009

MASJID YANG TERBESAR DI MALAYSIA ( ANTARA YANG TERINDAH DI DUNIA )






Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
Negeri Selangor


Daerah :Shah Alam
Imam :Othman Hamzah
Alamat :Persiaran Masjid, Seksyen 14, Shah Alam

Masjid Negeri Selangor Darul Ehsan yang dinamakan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah kini menjadi lambang keagungan dan kedaulatan agama Islam di negeri ini. Perasmiannya oleh Sultan Selangor Darul Ehsan pada 11 Mac 1988 bersamaan 23 Rejab 1408 hijrah.

Sebagai ketua agama Islam Negeri Selangor, baginda telah mengikuti tradisi yang diamalkan oleh pemimpin besar, Nabi Muhammad s.a.w. dengan membina sebuah masjid yang tidak ada tolok bandingnya di merata dunia.

Masjid ini adalah masjid terbesar kedua di Asia Tenggara setelah Masjid Istiqlal di Jakarta, Indonesia.

Isi kandungan
1 Ilham Diraja
• 2 Lokasi
• 3 Titik Pembinaan
• 4 Sumbangan Sultan Salahuddin
• 5 Keistimewaan
• 6 Sistem bunyi
• 7 Dewan Sembahyang
• 8 Mehrab
• 9 Mimbar
• 10 Pintu masuk
• 11 Mula digunakan
• 12 Fakta Tambahan

Ilham Diraja

Ilham untuk mengfadakan sebuah masjid seindah apa yang dilihat hari ini bermula apabila Shah Alam diisytiharkan sebagai ibu negeri Selangor Darul Ehsan selepas Kuala Lumpur diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan pada tahun 1974 mengikut Perjanjian Penyerahan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974.
Penyerahan Kuala Lumpur sebagai ibu negeri sebuah negara membangun yang giat mengisi kemerdekaan ialah satu-satunya pengiktirafan kepada Kerajaan Selangor yang diketuai oleh Baginda.

Lokasi

Masjid Negeri yang baru terletak di bahagian utara tebing Tasik Shah Alam. Ia terletak di satu kawasan yang lebih tinggi daripada kawasan bandar, kawasan yang paling sesuai bagi sebuah bangunan penting dan penuh makna seperti masjid negeri. Sultan Salahuddin menitahkan masjid baru dibina untuk memuatkan kira-kira 20,000 jemaah, sejajar dengan ramalan perkembangan penduduk di Shah Alam iaitu kira-kira 250,000 orang menjelang tahun 2000.Sultan Salahuddin juga bertitah bahawa rekabentuk dan seni binanya adalah tradisional. Bangunan masjid akan menjadi tanda mercu di pusat bandar itu.

Titik Pembinaan

Pembinaan masjid ini mengambil masa selama 12 tahun. Pada asalnya projek ini dibina atas arahan Sultan Salahuddin melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) pada awal tahun 1975. Tahun 1977, Jurubina Bertiga Arkitek diketuai oleh Dato' Baharuddin Abu Kassim, sebuah firma tempatan diberi kepercayaan dan tugas membuat penyelidikan yang menyeluruh mengenai jenis-jenis dan rekabentuk masjid sebelum keputusan mengenai rekabentuk sekarang dibuat. Beliau telah mengunjungi beberapa negara Islam untuk melihat dengan lebih dekat rekabentuk masjid yang ada di negara-negara berkenaan.
Jurubina Bertiga Internasional Sdn Bhd berjaya menghasilkan satu reka bentuk yang unik, tidak menyentuh mana-mana pihak dan boleh diterima oleh masyarakat Melayu. Struktur masjid ini kombinasi seni rekabina tradisional Islam dan Asia Barat, India, Barat dan ciri-ciri binaan Melayu asli.

Pembinaan masjid RM160 juta di atas tapak seluas 35 ekat ini bermula pada 1 Oktober 1983. Pelbagai firma dan pakar juga terlibat dalam pembinaannya. Mereka termasuklah:
• Tahir Wong & Partners
• Brian Moorhead & Partners, Manchester
• Pakatan Internasional Malaysia
• Bina Goodyear Bhd, Malaysia
• Satrick Corporation (Korea)
• Baco Contract Ltd
• Maju Tenko Sdn Bhd
• O'Connor's (Malaysia) Sdn Bhd
• Cahaya Letrik Kompeni

Sumbangan Sultan Salahuddin

Sultan Salahuddin telah menyumbang idea dan pandangan. Selain itu menyumbang 4 lampu candeliar berharga lebih RM2 juta untuk masjid ini. Lampu ini ditempatkan di pintu masuk utama. Lampu ini direka sendiri oleh Sultan Salahuddin.Sultan Salahuddin juga menghadiahkan jam antik berumur 600 tahun bernilai RM200,000 yang dibeli di Hong Kong. Sultan juga menyumbang elaun baginda selama 4 bulan kpada masjid negeri ini.

Keistimewaan

Masjid ini mempunyai kubah yang terbesar di dunia. Empat menara tinggi dibina di keliling kubah. Pembinaan masjid menggunakan teknologi terbaru. Kubah luar berdiri 300 kaki dari paras bumi dan garis pusat 170 kaki menjadi kubah agama yang terbesar pernah dibina sehingga kini. Bahagian luar kubah diperbuat daripada kepingan aluminium berlipat dan mempunyai panel yang menarik berwarna biru, tidak akan karat dan tahan beratus tahun.

Bahan aluminium berukuran 35 kaki tinggi disaluti dengan emas. Kubah dalam dan luar terletak di atas alang bulat setinggi 24 kaki dan 14 kaki lebar. Di bahagian luar mempunyai panel enamel yang dihiasi Khat al Quran berwarna biru dan berlatar belakang panel kelabu.

Tulisan khat adalah hasil kerja penulis khat Mesir, Sheikh Abdel Moneim Mohamed Ali El Sharkawi. Usaha membuat khat ini dilakukan oleh Emaillierwerk dari Hannover, Jerman Barat.

Sistem bunyi

Sistem bunyi terbaik ini dipasang oleh pakar bunyi terkemuka, Bolt - Beranek dan Newman dari New York. Rank O'Connor's pula menyempurnakan masalah bunyi gema yang selalu dihadapi oleh kebanyakan bangunan yang mempunyai kubah besar.

Dewan Sembahyang

Dewan Sembahyang utama seluas 73,000 kaki persegi ditutupi oleh satu kubah besar yang didokong oleh lapan tiang berbentuk empat persegi. Kubah itu mempunyai garis pusat 170 kaki dan 180 kaki tinggi. Setiap tiang mempunyai tangga dan dilengkapi lif.
Dewan Sembahyang Utama dibentuk dalam dua peringkat. Tingkat atas untuk wanita. Semua lantai disaluti permaidani yang diperbuat daripada benang bulu bercorak geometrik berlatar belakang warna biru. Tiang dan dinding disaluti oleh batu marmar putih Mahsuri dari Langkawi. Keseluruhan ruang sembahyang seluas 162,000 kaki persegi.

Mehrab

Dinding Mehrab disaluti batu marmar diimport menggunakan batu marmar antik Turki. dihiasi dengan ayat-ayat al Quran di dalam bentuk tradisional.

Mimbar

Mimbar masjid dibuat oleh pengukir tempatan mengikut corak masjid-masjid lama di Malaysia. Berukuran 7 kaki tinggi. Pelantarnya 5 kaki persegi , berdiri di atas empat tiang dan berbumbung batu marmar putih Mahsuri setinggi 30 kaki. Dihiasi dengan bintang dan bulan sabit emas di atasnya.

Cermin dinding dihiasi dengan gril yang tinggi diperbuat daripada kayu berukir setinggi 7 kaki.

Pintu masuk

Ada tiga pintu masuk. Pintu masuk utama menghadap pusat bandar Shah Alam. Dihiasi dengan pancutan air setinggi 70 kaki. Pintu masuk Diraja terletak di sebelah kanan.
Paip air untuk berwuduk paling moden telah dipasang. Pengunjung hanya perlu menyuakan tangan dan air akan keluar sendiri dan berhenti juga sendiri. Sebuah janakuasa tunggu sedia diadakan semasa ketiadaan bekalan elektrik.
Dengan siapnya masjid ini, rakyat Selangor tidak lagi terkilan. Impian Sultan Selangor menjadi kenyataan.

Mula digunakan

Masjid Negeri ini mula digunakan pada hari Khamis 3 Disember 1987. Datuk Mufti Haji Ishak bin Baharom telah memulakan bacaan khutbah Jumaat ketika menunaikan sembahyang Jumaat yang pertama. Imam pertama masjid ini ialah Tuan Haji Aluwi bin Parman. Bilal pertama ialah Tuan Haji Syafie bin Khati.

Fakta Tambahan

1. Masjid terbesar kedua di Asia Tenggara
2. Kubah masjid yang terbesar di dunia
3. Menara tertinggi kedua di dunia
4. Berupaya memuatkan 24,000 jemaah dalam satu masa
5. Struktur kubah menggunakan tiub aluminium ditutupi dengan 'Retvous Enamelled Steel Panel'.
6. Dijangka tidak memerlukan penyelenggaraan selama 200 tahun. Bernilai 18 juta.
7. Baginda Sultan sendiri yang memilih tapak masjid
8. Baginda menghadiahkan 4 lampu chandelier bernilai lebih 2 juta dan sebuah jam antik berusia 600 tahun bernilai RM200 ribu dibeli di Hongkong.
9.Baginda Sultan menyumbang elaun Baginda selama 4 bulan kepada Masjid Negeri.
10. Struktur masjid adalah kombinasi seni rekabentuk tradisi Islam dan Asia Barat, India, Barat dan ciri-ciri binaan Melayu Asli.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...